InshaAllah

Bila nak jadi baik, banyak ujiannya. Bila nak berubah ke arah kebaikan, banyak cabarannya. Tiada siapa kata jalan ini ialah jalan yang mudah.

Masyhur dinyatakan:

"Jalan ini tidak dibentangkan permaidani merah dan ditaburi bunga-bunga. Tetapi ianya jalan yang sukar dan ditaburi duri-duri nan terpacak."

Bila kita mahu meniti jalan ini, tidak dapat tidak kita perlu bersedia untuk berkorban. Memilih jalan ini bermakna kita telah berikrar untuk berusaha bersungguh-sungguh meninggalkan perbuatan yang dimurkai Allah. Dua perkara yang tidak akan bersatu dalam satu masa - mencintai Allah dan mencintai apa yang dimurkaiNya. Maka sudah pasti, kita perlu mengorbankan kesukaan kita, kebiasaan kita, keselesaan kita terhadap perkara-perkara yang Allah murkai itu.

Akan ada godaan dari syaitan, baik dari kalangan jin dan manusia, yang akan menghasut dan menghalang kita dari jalan ini. Akan wujud bisikan-bisikan yang ingin menarik kita ke arah kerosakan.

Akan ada yang menghina kita, mencerca, maki hamun, menggelar kita dengan pelbagai gelaran buruk dan kotor. Ada pula yang akan mengungkit masa lalu kita, memanggil kita berlakon, atau hipokrit atau tidak akan lama di atas jalan ini. Ada yang akan memulaukan kita, menjauhi kita, bahkan memusuhi kita atas perubahan yang kita pilih.

Namun itu semuanya kecil jika hendak dibandingkan pengakhiran yang sedang kita kejar di atas jalan ini. Yakni keredhaan Allah SWT dan pengakhiran yang baik di akhirat kelak.

Ya, kita tak nampak itu semua sekarang. Mungkin yang terzahir hanyalah kerasnya dugaan dan dasyatnya cabaran yang sedang menimpa kita. Namun itulah dia maharnya syurga. Ia dipagari dengan kesusahan dan pengorbanan. Hanya dengan keyakinan dan keimanan, kita akan berjaya menempuh jalan yang sukar ini.

Untuk itu, hendaklah kita juga berusaha. Pertamanya mendekatkan diri kepada Allah SWT dengan memperbaiki ibadat fardhu dan berusaha menambah ibadah sunat. Kemudiannya bergaul dan membina hubungan dengan orang-orang yang baik atau mereka yang juga sedang berusaha bersungguh-sungguh memperbaiki diri.

Hendaklah kita juga sedar bahawa perubahan tidak akan berlaku sekelip mata. Bersabar dan cekal lah.

Yakinlah bahawa semua kesusahan, pengorbanan dan kesungguhan kita ini, tidak terlepas dari pandangan Allah SWT.

Sama-samalah kita bermuhasabah dan terus pesan memesan untuk istiqomah di atas jalan ini.

Muhasabah.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

BULAN OGOS

BULAN SEPT