InshaAllah
Bila nak jadi baik, banyak ujiannya. Bila nak berubah ke arah kebaikan, banyak cabarannya. Tiada siapa kata jalan ini ialah jalan yang mudah. Masyhur dinyatakan: "Jalan ini tidak dibentangkan permaidani merah dan ditaburi bunga-bunga. Tetapi ianya jalan yang sukar dan ditaburi duri-duri nan terpacak." Bila kita mahu meniti jalan ini, tidak dapat tidak kita perlu bersedia untuk berkorban. Memilih jalan ini bermakna kita telah berikrar untuk berusaha bersungguh-sungguh meninggalkan perbuatan yang dimurkai Allah. Dua perkara yang tidak akan bersatu dalam satu masa - mencintai Allah dan mencintai apa yang dimurkaiNya. Maka sudah pasti, kita perlu mengorbankan kesukaan kita, kebiasaan kita, keselesaan kita terhadap perkara-perkara yang Allah murkai itu. Akan ada godaan dari syaitan, baik dari kalangan jin dan manusia, yang akan menghasut dan menghalang kita dari jalan ini. Akan wujud bisikan-bisikan yang ingin menarik kita ke arah kerosakan. Akan ada yang menghina kita, ...